Powered By Blogger

Tuesday 11 October 2011

AHLI PANEL PEMBINAAN MODUL STANDARD KURIKULUM (KSSR) BAHASA MALAYSIA


Saya berasa amat bertuah dan gembira atas kepercayaan dan amanah yang diberikan oleh Unit Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu, Sektor Bahasa Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) Kementerian Pelajaran Malaysia terhadap saya dalam menyumbangkan serba sedikit kepakaran dan sumbangan dalam Pembinaan Modul Standard Kurikulum Bahasa Malaysia Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan sejak dua tahun ini. 


Selain itu, tidak lupa pula bimbingan dan juga ilmu pengetahuan yang diberikan oleh pensyarah UPSI khasnya kumpulan EL-W05 saya iaitu Dr. Adenan Bin Ayob dan Encik Abu Bakar bin Yusuf (selaku course coordinator), Puan Harnani binti Mat Zin serta Encik Nik Mohd Zaki bin Nik Mohamed dapat saya aplikasikan dalam Pembinaan Modul Standard Kurikulum Bahasa Malaysia Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan dengan matlamat bahan rujukan ini dapat membantu para guru:
  • menjana idea,
  • mengetengahkan pendekatan modular, dan
  • menitikberatkan pembelajaran secara didik hibur serta
  • merancang dan melaksanakan pelbagai aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P & P). 

Memang tidak dapat dinafikan bahawa perubahan yang sedang melanda dalam dunia pendidikan kini tentunya akan merubah kandungan dan reka bentuk kurikulum setiap mata pelajaran (Jamaludin, 1989; Nik Azis, 1989). Seiringan dengan itu, Kementerian Pelajaran Malaysia mengambil inisiatif menyemak dan melakukan penambahbaikan dalam kurikulum. Struktur Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) digubal berlandaskan prinsip-prinsip Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) yang selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. 


Matlamat Pendidikan Sekolah Rendah adalah untuk memastikan perkembangan potensi murid secara menyeluruh, seimbang, dan bersepadu. Perkembangan ini meliputi aspek-aspek jasmani, emosi, rohani, dan intelek (JERI) dan berakhlak mulia. Untuk mencapai matlamat ini, satu bentuk pendidikan yang bersifat holistik perlu diperkasa untuk memenuhi tuntutan pendidikan serta menangani cabaran kehidupan masa kini dan masa depan. Standard Kurikulum Bahasa Malaysia dibina berasaskan enam tunjang iaitu:
ü  Komunikasi;
ü  Kerohanian, Sikap dan Nilai;
ü  Kemanusiaan;
ü  Literasi Sains dan Teknologi;
ü  Fizikal dan Estetika; dan
ü  Keterampilan Diri

Enam tunjang tersebut merupakan domain  utama yang  menyokong antara satu sama lain dan disepadukan dengan pemikiran kritis, kreatif dan inovatif. Kesepaduan ini bertujuan untuk  membangunkan modal insan yang seimbang, berpengetahuan dan berketerampilan.

No comments:

Post a Comment